TAWAU, 22 Feb — Paras air di beberapa kawasan berisiko banjir di daerah Tawau menunjukkan peningkatan susulan hujan lebat berterusan selama kira-kira enam jam namun keadaan keseluruhan masih terkawal dan tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.
Menurut laporan pemantauan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Tawau, seramai empat pegawai dan 17 anggota digerakkan pada jam 10.15 malam bagi menjalankan pemantauan di kampung serta kawasan perumahan berisiko dinaiki air.
Antara lokasi yang dipantau termasuk Kampung Batu 2, Taman Setia, Jalan Sin Onn, Taman Villa dan Batu 9.
Bacaan paras air di Kampung Batu 2 direkodkan pada 0.81 meter dan dikategorikan dalam keadaan waspada manakala di Batu 9 bacaan 0.70 meter turut berada pada tahap waspada.
Sementara itu, Taman Setia mencatatkan 0.25 meter, Jalan Sin Onn 0.30 meter dan Taman Villa 0.30 meter kesemuanya masih dalam keadaan baik dan terkawal.
APM memaklumkan trend paras air di Sungai Kinabutan Kecil, Sungai Tawau dan Sungai Saddani adalah terkawal walaupun cuaca hujan berterusan.
Bagaimanapun Jalan Batu 9 dilaporkan dinaiki air namun tiada kampung terputus hubungan setakat laporan dikeluarkan.
Dari segi kesiapsiagaan, APM menggerakkan aset melibatkan sebuah Light Rescue Vehicle (LRV), sebuah Rapid Response (RQ), dua Medium Rescue Vehicle (MRV) serta sebuah bot bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kalabakan, Andi Suryady turut meninjau situasi banjir di sekitar Kampung Pasir Putih, Tanjung Batu Keramat dan Sungai Bukit Segenggam susulan peningkatan paras air akibat hujan berterusan.
Beliau juga melawat PPS di Dewan OT Jantan yang kini berada dalam keadaan siap siaga sekiranya diperlukan untuk menempatkan mangsa terjejas.
Pihak berkuasa memaklumkan tiada mangsa dipindahkan setakat ini dan situasi akan terus dipantau dari semasa ke semasa.
TAMAT
