Banjir Kampung Sibaung, 67 Penduduk Dipindahkan Ke PPS

sabahheadlines
1 Min Read

PITAS, 21 Feb — Seramai 67 penduduk terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas kejadian banjir melanda kampung berkenaan awal pagi tadi.

Menurut laporan operasi, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas menerima panggilan kecemasan pada jam 1.16 pagi sebelum jentera tiba di lokasi kira-kira sembilan minit kemudian,
melibatkan jarak perjalanan sejauh lapan kilometer.

Komander Operasi, PBK I Mohd Nor Azmer Mat Shor Nasir memaklumkan, kejadian banjir disahkan berlaku dan pasukan bomba segera melaksanakan operasi pemindahan mangsa yang terperangkap ke PPS Resthouse dengan selamat.

Operasi melibatkan lapan anggota bomba dengan bantuan agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Logistik yang digunakan terdiri daripada sebuah lori dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Mangsa yang dipindahkan terdiri daripada 10 lelaki dewasa, 32 perempuan dewasa, 15 kanak-kanak lelaki dan 10 kanak-kanak perempuan menjadikan jumlah keseluruhan seramai 67 orang.

Operasi dilaporkan terkawal sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.40 pagi selepas pasukan memastikan keadaan selamat dan tiada lagi penduduk terjejas.

Orang ramai dinasihatkan supaya terus berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

TAMAT

Share This Article