JADIKAN AMALAN KEBAJIKAN SEBAGAI BUDAYA: AZIZAH

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU,21 FEBRUARI-Amalan kebajikan wajar dijadikan sebagai budaya dan bukan sekadar bermusim.

Sehubungan dengan itu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diharap agar tampil bersama menghulurkan bantuan kepada golongan asnaf dan keluarga kurang berkemampuan.

Harapan itu diluahkan oleh Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun pada majlis penyampaian sumbangan bakul makanan kepada golongan asnaf.

Seramai 30 orang menerima sumbangan itu di Dewan Perkumpulan Perempuan Sabah (PPS) Sembulan di sini hari ini.

Azizah berkata syarikat bukan kerajaan harus berusaha membantu golongan kurang bernasib baik dan tidak seharusnya digalas oleh satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan sokongan menyeluruh daripada semua lapisan masyarakat demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela.

“Bantuan yang diberikan oleh syarikat korporat dan badan bukan kerajaan itu bukan saja mampu mengurangkan penderitaan golongan kurang berkemampuan, malah turut meringankan bebanan kerajaan dalam menyediakan kemudahan untuk tujuan itu,” katanya.

Azizah juga menzahirkan komitmen berterusan Wanita GRS dalam membantu golongan memerlukan, khususnya ketika umat Islam menjalani ibadah puasa.

Menurutnya, Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga bulan untuk memperkukuh semangat kebersamaan dan solidariti dalam masyarakat.

“Kita mahu memastikan golongan asnaf tidak terpinggir, lebih-lebih lagi dalam suasana kos sara hidup yang semakin mencabar. Bantuan ini mungkin kecil, tetapi besar maknanya kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Turut hadir sama Penolong Setiausaha Wanita GRS, Salmah Sait, Timbalan Bendahari Wanita GRS, Datuk Surinam Sadikun, Ketua Penerangan Wanita GRS, Datin Belynda Buntot.

Dalam majlis itu, Azizah turut menyerahkan bakul makanan kepada Surinam mewakili Parlimen Beaufort (50) Sipitang (50) dan Kimanis (50) manakala Salmah mewakili Parlimen Putatan (50), manakala Perkumpulan Perempuan Sabah (100).

TAMAT

Share This Article