KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri menggerakkan seluruh jentera keselamatan dan agensi berkaitan bagi memperkukuh operasi pemindahan serta penyaluran bantuan kepada mangsa banjir di beberapa daerah yang terjejas.
Ketua Menteri, Hajiji Noor, berkata kebajikan dan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, khususnya ketika umat Islam sedang menjalani ibadah Ramadan.
Beliau memaklumkan kawasan terjejas termasuk Kota Marudu, Pitas, Paitan dan Sandakan terus dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan bantuan disampaikan secara cepat dan berkesan kepada mangsa.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk di kawasan rendah dan berisiko supaya sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa serta tidak mengambil sebarang risiko yang boleh mengancam keselamatan diri dan keluarga.
Dalam pada itu, beliau turut mengajak orang ramai mengambil kesempatan di bulan Ramadan untuk saling membantu serta mendoakan kesejahteraan mereka yang sedang berdepan musibah.
TAMAT
