KOTA KINABALU, 18 Feb – Seramai 30 peniaga bazar ramadan menerima bantuan kanopi.
Tiga puluh peniaga itu bernaung di bawah Persatuan Usahawan Penjaja dan Peniaga Kecil Kota Kinabalu (PUPPKKK).
Sumbangan kanopi sebagai sokongan kepada kelangsungan perniagaan sepanjang Ramadan.
Dalam pada itu bazaar ramadan di Sabah Trade Centre (STC) akan mula beroperasi esok selepas upacara ringkas perasmian tapak bazar diadakan di Likas, hari ini.
PUPPKKK yang diketuai Ramzih Ruzin turut diberi kebenaran menjalankan aktiviti perniagaan bazar Ramadan serta jualan waktu malam di kawasan parkir STC yang telah ditetapkan.
Sementara itu, Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah memaklumkan pihaknya menerima beberapa cadangan pembangunan semula STC.
Sebagai langkah sementara, Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) selaku pemilik tanah menandatangani perjanjian bersama POIC Sabah bagi kerja penyelenggaraan dan pengurusan kawasan STC.
MINDET turut menegaskan komitmen kementerian bukan hanya tertumpu kepada pelaburan industri berskala besar, malah memberi perhatian kepada pembangunan usahawan kecil tempatan melalui persatuan berdaftar.
Penganjur berharap bazar itu dapat memberi peluang rezeki dan manfaat kepada semua peniaga yang terlibat sepanjang bulan Ramadan.
TAMAT
