Polis Siasat Kes Bunuh Selepas Anggota Tubuh Ditemui Di Indah Permai

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 12 Feb – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung satu kes bunuh selepas beberapa bahagian anggota tubuh manusia ditemukan di kawasan rumah kedai Indah Permai, Menggatal, pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu memaklumkan, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan itu kira-kira jam 8 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) digerakkan ke lokasi untuk tindakan lanjut.

Hasil pemeriksaan awal mendapati bahagian tubuh berkenaan ditemukan di dalam tong sampah serta sekitar kawasan rumah kedai terbabit dan dipercayai milik seorang mangsa yang sama.

Bagaimanapun, identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan usaha mengesan waris terdekat sedang giat dijalankan.

Siasatan turut dibantu Pasukan Forensik PDRM Kontinjen Sabah, Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) serta Unit Anjing Pengesan (K9) bagi mengumpul bahan bukti.

Polis juga tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum bahagian tubuh itu dibuang di kawasan berkenaan.

Mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik HQE I untuk bedah siasat yang dijadualkan pada 13 Februari ini, jam 8.30 pagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Rahman di talian 012-310 6882 atau IPD Kota Kinabalu di 088-529222. Polis memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh bagi membawa pelaku ke muka pengadilan.

TAMAT

Share This Article