31 PATI Ditahan Dalam Operasi Imigresen Di Kota Kinabalu, Sipitang

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU, 12 Feb : Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menahan seramai 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi beberapa operasi penguatkuasaan berasingan yang dijalankan di Kota Kinabalu dan Sipitang, semalam.

Dalam operasi di Sipitang, seramai 24 warga Filipina ditahan selepas pemeriksaan terhadap 30 individu mendapati mereka dipercayai tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah.

Tangkapan melibatkan enam lelaki dewasa, tujuh perempuan dewasa serta 11 kanak-kanak terdiri daripada enam lelaki dan lima perempuan.

Sementara itu, di Kota Kinabalu, tujuh warga asing ditahan hasil pemeriksaan terhadap 16 individu dalam operasi berasingan.

Mereka terdiri daripada seorang lelaki warganegara China, seorang lelaki dan tiga perempuan warga Filipina serta dua perempuan dewasa yang masih belum dikenal pasti kewarganegaraan.

Kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa dokumen atau pas yang sah.

JIM Sabah menegaskan pihaknya akan terus mempergiat operasi dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau majikan yang menggaji atau melindungi PATI.

Orang ramai turut diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu memastikan pematuhan undang-undang imigresen terus diperkasakan.

TAMAT

Share This Article