GRS ALU-ALUKAN KERJASAMA POLITIK DEMI KEKALKAN KESTABILAN SABAH

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 23 November – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengalu-alukan cadangan memperkukuh kerjasama politik bersama UMNO Sabah sebagai usaha memastikan kestabilan politik dan kelancaran pentadbiran Kerajaan Negeri.

Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Mohd Razali Razi berkata, GRS menyambut baik kenyataan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi serta Setiausaha Politik kepada Ketua Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Raime Unggi berhubung usaha memperkukuh kerjasama antara kedua-dua pihak.

Menurutnya, ketika ini GRS menerajui Kerajaan Negeri Sabah dengan kerjasama Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan rakan-rakan lain, yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan kestabilan politik serta memastikan urusan pentadbiran dan pembangunan negeri berjalan lancar.

Beliau berkata, keberkesanan kerjasama itu turut terbukti menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Januari lalu apabila kesepaduan jentera parti membantu memastikan kemenangan dengan majoriti besar di kedua-dua kerusi berkenaan.

Katanya, pencapaian itu membuktikan bahawa persefahaman dan kerjasama erat antara parti mampu menghasilkan kejayaan apabila semua pihak bergerak sehaluan.

Sehubungan itu beliau berkata, keutamaan GRS ketika ini adalah memperkukuh kerjasama sedia ada bersama BN, PH dan rakan-rakan lain dalam Kerajaan Negeri berlandaskan kepercayaan serta sikap saling menghormati.

Tambahnya, kerjasama politik yang kukuh amat penting bagi membolehkan kerajaan negeri terus memberi tumpuan kepada agenda pembangunan Sabah selain memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan mempertahankan hak Sabah dalam Persekutuan Malaysia demi kepentingan rakyat.

Share This Article