KOTA BELUD, 25 Okt – Seorang wanita warga emas rentung dalam satu kebakaran di Kampung Bangkahak Sunsum di sini awal pagi tadi.
Mangsa yang berusia 70an itu ditemui di bilik tidur rumah tersebut.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai pada jam 2.00 pagi sebelum sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud digerakkan ke lokasi kejadian sejauh kira-kira 13 kilometer.
“Setibanya pasukan di lokasi pada jam 2.14 pagi didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan 50×50 kaki yang terbakar 100 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan kaedah offensive dengan satu aliran sepanjang 100 kaki dan dua pancutan menggunakan sumber air daripada tangki jentera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang mangsa wanita ditemukan rentung di bilik tidur.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.50 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.30 pagi selepas memastikan tiada bahaya lain wujud.
Operasi diketuai oleh PBK II Jasree bin Mar selaku Komander Operasi dengan penyeliaan Pegawai Pemerintah BBP Kota Belud, PPgB Elgie Bakuk.
Turut membantu operasi ialah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta SESB di lokasi kejadian.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
TAMAT

