sh@ Syarmilah Salleh
LAHAD DATU (18 JULAI):Tindakan sembilan Ahli Parlimen tidak akan menggugat kerajaan perpaduan.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Ahmad Maslan berkata kerajaab perpaduan kekal stabil dan kukuh meski sembilan MP itu didakwa ‘buat hal.’
Beliau berkata, sehingga kini tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh mana-mana daripada sembilan MP tersebut yang menunjukkan mereka berhasrat untuk keluar parti atau menjadi wakil rakyat bebas.
“Pertama, saya ingin menyatakan bahawa sembilan MP itu tidak pernah menyebut hasrat mereka untuk keluar atau menjadi bebas. Tidak pernah. Itu perkara pertama,” katanya.
Menurut Ahmad, kerajaan perpaduan yang kini memiliki 153 kerusi Parlimen, masih memiliki kedudukan yang kukuh walaupun berlaku sebarang pengurangan kerusi sekalipun.
“Jika pun 10 keluar, kerajaan ini masih ada 143 kerusi. Untuk menjadi kerajaan, cukup dengan 112 kerusi daripada 222 jumlah kerusi Parlimen. Jadi, kita masih jauh lebih kukuh,” jelas beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan kini sudah pun melepasi ambang majoriti dua pertiga, justeru tidak tergugat dengan sebarang percubaan menggugat kestabilan politik negara.
Ahmad juga mengingatkan agar negara tidak mengulangi episod ketidakstabilan politik seperti yang berlaku dalam penggal lalu.
“Pada penggal yang lepas, kita ada satu Agong tetapi empat Perdana Menteri. Rakyat bangun pagi tertanya-tanya siapa Perdana Menteri hari ini. Pelabur lari, negara huru-hara. Kita tidak mahu episod itu berulang,” ujarnya lagi.
Beliau menekankan bahawa kestabilan politik adalah kunci utama kepada kemakmuran, termasuk untuk negeri-negeri seperti Sabah, yang kini menikmati pelbagai projek pembangunan hasil daripada kestabilan kerajaan sedia ada.
“Perkataan paling penting ialah kestabilan. Kestabilan politik membawa kepada kemakmuran,” katanya menutup kenyataan.
Datuk Seri Ahmad berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Makan Malam bersama Pimpinan UMNO Bahagian Lahad Datu, pada Selasa.
TAMAT
