TERUS PUPUK SEMANGAT PATRIOTISME,PERPADUAN DAN HARMONI

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU,30 OGOS – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengajak seluruh rakyat negeri ini khususnya generasi muda terus memupuk semangat patriotisme, mengekalkan perpaduan serta menjaga keharmonian kepelbagaian bangsa dan agama.

Beliau berkata perpaduan kaum adalah kunci kekuatan yang perlu terus dipertahankan lebih-lebih lagi dalam arus pemodenan semasa.

Dalam perutusan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah pada 31 Ogos, beliau menegaskan sambutan ini bukan sekadar diingati tetapi perlu dihayati mendalam bagi menghargai pengorbanan para pejuang kemerdekaan.

“Saya percaya dua sambutan penting ini mampu menjadi titik penyatuan seluruh rakyat Malaysia di Sabah yang berbilang bangsa dan agama,” katanya.

Tema Hari Kebangsaan Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati mencerminkan komitmen kerajaan membina negara maju, inklusif dan harmoni di mana kemakmuran dikongsi secara adil.

Sementara itu, tema Hari Sabah Sabah Tanah Airku melambangkan rasa cinta, bangga dan kesetiaan rakyat kepada negeri serta menekankan semangat kebersamaan demi kemajuan bersama.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat mengibar Jalur Gemilang dan bendera negeri di rumah, pejabat, kenderaan serta premis perniagaan sebagai tanda semangat patriotik dan cinta tanah air.

“Marilah kita bersatu menolak sebarang anasir yang cuba memecahbelahkan keharmonian negeri.

“Semoga sambutan ini menjadi wadah memperkukuh perpaduan demi kemajuan Sabah,” tambahnya.

Share This Article