TAWAU CATAT IPU TERTINGGI DI SABAH, TIGA DAERAH DIREKOD TIDAK SIHAT

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 31 OGOS – Kualiti udara di beberapa daerah di Sabah menunjukkan tahap membimbangkan apabila Tawau merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi sekali gus menjadi daerah paling terjejas setakat jam 2 petang hari ini.

Berdasarkan data Sistem Maklumat IPU Malaysia (APIMS) yang dikemas kini pada 31 Ogos 2026, jam 2 petang Tawau merekodkan bacaan antara 151 hingga 153, berada dalam kategori tidak sihat.

Selain Tawau, dua lagi daerah turut mencatatkan bacaan IPU dalam kategori tidak sihat iaitu Semporna dengan 143 dan Kota Kinabalu dengan 122.

Sementara itu, tujuh daerah berada pada tahap sederhana masing-masing Kunak (99), Keningau (93), Sandakan (73), Lahad Datu (68), Kudat (62), Beaufort (60) dan Kota Marudu (55).

Tiga daerah pula merekodkan kualiti udara pada tahap baik iaitu Ranau (50), Tenom (45) dan Tambunan (42).

Mengikut petunjuk kategori IPU, bacaan 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana manakala 101 hingga 200 tidak sihat.

Dalam keadaan IPU tidak sihat orang ramai khususnya kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar dan memakai pelitup muka sekiranya perlu keluar rumah.

Orang ramai juga disaran memastikan pengudaraan yang baik di dalam rumah atau bangunan serta mengikuti perkembangan bacaan IPU dari semasa ke semasa kerana bacaan boleh berubah mengikut keadaan semasa.

Sumber: Jabatan Alam Sekitar Sabah / Sistem Maklumat IPU Malaysia (APIMS).

Share This Article