RIBUAN RAKYAT MERIAHKAN SAMBUTAN HARI SABAH DI KOTA KINABALU

sabahheadlines
1 Min Read

KOTA KINABALU,31 OGOS – Dataran Bandaraya di sini malam tadi bergema dengan sorakan dan kemeriahan apabila ribuan rakyat Sabah berhimpun bersama pemimpin negeri bagi menyemarakkan sambutan Hari Sabah dalam suasana penuh warna-warni.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor turut bersama rakyat menyaksikan pelbagai acara dan persembahan yang disusun bagi memeriahkan sambutan berkenaan.

Sambutan dimulakan dengan ucapan pengisytiharan oleh Yang di-Pertua Negeri sebelum diteruskan dengan upacara menaikkan bendera serta pelbagai persembahan yang memeriahkan suasana.

Antara pengisian utama ialah pertunjukan cahaya laser, persembahan koir kumpulan Male-Efficient serta persembahan artis-artis tempatan.

Acara turut diserikan dengan tayangan montaj khas sebelum hadirin bersama-sama menghayati persembahan lagu Sabah Tanah Airku.

Selain itu, perarakan dengan motif Hari Sabah turut diadakan sebagai sebahagian daripada sambutan.

Yang di-Dipertua Negeri diiringi isteri,Toh Puan Faridah Tussin manakala Hajiji diiringi isterinya, Datin Seri Panglima Datuk Juliah Salag.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman; anggota Jemaah Menteri Negeri serta wakil rakyat.

Share This Article