KOTA BELUD: Tamu Besar Kota Belud yang berusia 148 tahun terus menjadi antara acara penting dalam kalendar pelancongan Sabah, sekali gus mengetengahkan keunikan budaya, tradisi dan warisan masyarakat tempatan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata Kota Belud mempunyai potensi besar untuk diperkasakan sebagai destinasi pelancongan menerusi keunikan budaya, makanan tempatan, kraftangan serta keindahan alam semula jadinya.
Menurutnya, semua daerah di Sabah perlu membangunkan produk dan pengalaman pelancongan beridentiti tersendiri bagi meningkatkan daya tarikan negeri ini menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.
Beliau berkata, Kota Belud menawarkan pelbagai pengalaman pelancongan meliputi pengembaraan, rekreasi, budaya dan alam semula jadi, termasuk tarikan di pulau serta sungai.
Malah, daerah itu turut diiktiraf sebagai sebahagian daripada Kinabalu UNESCO Global Geopark sejak Mei 2023, sekali gus memperlihatkan potensinya sebagai destinasi pelancongan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Tamu Besar Kota Belud 2026 yang turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin.
Hajiji berkata, semangat perpaduan yang ditonjolkan menerusi penganjuran tamu berkenaan membuktikan kepelbagaian kaum dan agama di Sabah merupakan kekuatan untuk bersama-sama menjayakan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Dalam pada itu, kerajaan negeri akan terus memberi perhatian kepada pembangunan infrastruktur asas dan kemudahan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi Kota Belud, selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan Pelan Pembangunan SMJ 2.0.
Antara projek berkenaan ialah Lebuhraya Pan Borneo bagi laluan Kota Belud-Wariu yang kini hampir siap, selain penyediaan Pusat Ekonomi Digital di Wisma Majlis Daerah.
Menurutnya, pembangunan itu diharap dapat meningkatkan jaringan perhubungan, menyokong kegiatan ekonomi serta membuka peluang baharu kepada masyarakat untuk menambah pendapatan.
Kota Belud juga mempunyai kekuatan dalam sektor pertanian, khususnya penanaman padi, selain perusahaan kecil dan sederhana (IKS), makanan, kraftangan serta pelancongan.
Hajiji berkata, daripada kira-kira 12,000 usahawan di Sabah yang menerima pelbagai bentuk bantuan dan geran IKS, seramai 1,800 orang adalah dari Kota Belud.
“Ini menunjukkan besarnya potensi dan keupayaan usahawan daerah ini yang perlu terus kita sokong dan perkasa,” katanya.
