SMJ terus bantu rakyat, lonjak pembangunan Kuala Penyu–Menumbok

sabahheadlines
2 Min Read

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyerahkan replika kunci Rumah Mesra SMJ kepada penerima yang layak pada majlis penyerahan di Tapak Tamu Pekan Menumbok pada Khamis.

MENUMBOK,: 6 Nov- Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata kerajaan negeri komited meneruskan agenda kebajikan rakyat dan pembangunan seimbang melalui pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Katanya, hasil peningkatan kutipan hasil negeri membolehkan kerajaan memperluas bantuan kepada golongan memerlukan termasuk pemberian tunai, rumah mampu milik dan bantuan kebajikan.

“Tahun ini kira-kira 100,000 rakyat miskin menerima bantuan RM300 sebulan.

“Melalui Jabatan Kebajikan pula seramai 70,000 penerima termasuk OKU dan warga emas dibantu berbanding hanya 30,000 sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Daerah Kuala Penyu dan Daerah Kecil Menumbok 2025–2035 di Tapak Tamu Pekan Menumbok, hari ini.

Hajiji berkata, kerajaan turut memperluas program Rumah Mesra SMJ dengan 40 rumah diserahkan tahun ini dan tambahan 50 rumah dirancang tahun depan termasuk 10 unit khas untuk pasangan muda berpendapatan rendah.

Dalam sektor pendidikan, kerajaan memperuntukkan RM1.3 bilion dalam tempoh lima tahun bagi membiayai biasiswa dan bantuan pelajar.

Beliau turut merasmikan Masjid Nur Ihsan Menumbok yang siap sepenuhnya pada Mac lalu dengan kos RM3.26 juta menerusi peruntukan Jabatan Perdana Menteri (ICU).

Pada majlis itu, Hajiji menyampaikan penghargaan kepada Yayasan Pendidikan Limus Jury atas usaha membantu 5,350 pelajar di Kuala Penyu dan Menumbok melalui pelbagai bantuan pendidikan.

Beliau turut menyerahkan tiga warta tanah kediaman anak negeri di bawah Seksyen 78 membabitkan Kampung Mansud (6.268 hektar), Kampung Purun (13.740 hektar) dan Kampung Tanjung Aru (24.339 hektar).

TAMAT

Share This Article