SUNGAI MANILA 29 Nov — Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.51 Sungai Manila, Hazem Mubarak Musa merakamkan penghargaan kepada semua penduduk yang keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada hari ini.
Hazem menyampaikan ucapan tahniah dan terima kasih atas komitmen tinggi ditunjukkan masyarakat Sungai Manila yang terus mengekalkan semangat demokrasi dan kepedulian terhadap masa depan kawasan mereka.
Beliau menegaskan bahawa sekiranya diberi mandat beliau bertekad untuk membawa perubahan yang lebih menyeluruh di Sungai Manila melalui agenda pembangunan yang mampan, terancang dan inklusif.
Katanya, keinginan untuk memajukan Sungai Manila telah menjadi azam utama yang membentuk semangat perjuangannya dalam politik selain bimbingan dan pesanan ayahandanya yang sentiasa menekankan tanggungjawab memberi khidmat terbaik kepada rakyat.
“Insya-Allah, segala perancangan dan usaha untuk membangunkan Sungai Manila dapat direalisasikan dengan sokongan dan keyakinan rakyat pada 29 November ini,” katanya.
Hazem turut menyeru pengundi agar tidak ragu-ragu memilih calon GRS demi memastikan kesinambungan legasi pembangunan dapat diteruskan untuk manfaat penduduk seluruh Sungai Manila.
Beliau menutup pesanan itu dengan menghargai setiap pengundi yang hadir sambil menyifatkan rakyat Sungai Manila sebagai yang terbaik dalam menyokong usaha memacu perubahan.
“Bersama Membangun Sungai Manila,” katanya.
TAMAT
