PENGUATKUASAAN AKTIF,JIM SABAH NAFI TUDUHAN PEGAWAI TERIMA RASUAH

sabahheadlines
2 Min Read

sh@ Syarmilah Salleh

SEMPORNA, 20 Ogos – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah tidak berkompromi dengan isu integriti.

Ia sekaligus menolak tuduhan kononnya pegawai agensi itu terbabit dengan amalan rasuah.

Pengarah JIM Sabah, Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, semua aduan dan maklumat risikan, termasuk membabitkan pelancong China di Semporna, sentiasa dipandang serius.

“Setakat ini tiada aduan daripada pelancong China mahupun dalam negeri yang mendakwa pegawai Imigresen menerima rasuah.

“Jika ada, saya tidak akan berkompromi kerana perkara sebegini memalukan negara dan jabatan,” katanya pada sidang media di Pejabat Imigresen Semporna, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing baru-baru ini berhubung isu kelemahan penguatkuasaan di Sabah selepas mengikuti operasi JIM di Tawau selama dua hari.

Dalam kenyataannya, Tiong mendakwa terdapat kelemahan serius dikesan, termasuk isu keselamatan pelancong, pengoperasian haram, serta dakwaan rasuah dalam kalangan pegawai JIM.

Mengulas lanjut, Sitti Saleha menegaskan agar sebarang dakwaan disertakan bukti bagi memastikan keadilan kepada semua pihak.

Sementara itu, mengenai pelaksanaan moratorium penguatkuasaan terhadap sektor perladangan seperti diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, beliau berkata perkara itu disambut baik dan telah dibincangkan bersama Kerajaan Negeri.

“Buat masa ini, operasi di kawasan perladangan ditangguhkan sementara menunggu arahan kerajaan negeri. Namun, jika ada aduan mengenai kehadiran PATI (Pendatang Asing Tanpa Izin) di kawasan ladang, pemeriksaan tetap akan dijalankan.

“Dengan moratorium ini, majikan tidak boleh mengambil mudah kerana kita tetap bertindak berdasarkan aduan,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan syarikat perladangan agar mendaftarkan pekerja mereka melalui sistem pendaftaran digital yang disediakan kerajaan negeri.

“Tempoh enam bulan yang diberikan perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Jika majikan gagal berbuat demikian, operasi penguatkuasaan Imigresen akan diteruskan,” tegasnya.

TAMAT

Share This Article