KOTA KINABALU, 1 April – Pegawai lantikan politik di Sabah hari ini melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dalam satu majlis yang disaksikan Ketua Menteri, Hajiji Noor, di Menara Kinabalu.
Majlis tersebut diketuai Setiausaha Perhubungan Awam kepada Ketua Menteri, Elvin Alrick Jilan, dan melibatkan setiausaha-setiausaha sulit serta setiausaha-setiausaha akhbar daripada pelbagai kementerian negeri.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong serta Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah.
Lafaz IBR itu mencerminkan komitmen pegawai lantikan politik untuk melaksanakan tugas dengan penuh integriti, telus dan bebas daripada sebarang amalan rasuah selaras dengan usaha kerajaan negeri memperkukuh tadbir urus yang baik.
Majlis berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan bagi memastikan budaya kerja berintegriti terus diperkasakan dalam pentadbiran negeri Sabah.
