MARITIM TAHAN VESEL NELAYAN

SYARMILAH SALLEH

KOTA KINABALU (13 MEI): Tindakan sebuah Vesel Nelayan Tempatan ( VNT) yang beroperasi dalam keadaan mencurigakan membawa padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di kedudukan 31.6 batu nautika Barat Tanjung Aru sekitar jam 4.10 petang semalam.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid@Razali berkata, tangkapan dibuat ketika Kapal Peronda Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan rutin di kawasan Beting Manggalong.

Katanya, pemeriksaan ke atas Vesel terbabit yang dinaiki juragan dan lima kru mendapati mereka telah melanggar Ordinan Perkapalan Saudagar ( MSO) 1952 kerana gagal memenuhi keperluan keanggotaan minimum yang ditetapkan.

Dua daripada kru didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri atau pun permit kerja yang sah sekaligus melanggar Akta Imigresen 1959/63.

“Vesel dan kru bersama muatan ikan campuran sebersih seberat 900 kilogram telah ditahan kemudiannya dibawa ke jeti Maritim Malaysia Sepanggar untuk siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM 200 ribu, katanya.

Beliau berkata Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana – mana pihak yang sengaja melanggar undang- undang dan mengabaikan aspek keselamatan serta peraturan operasi di laut.

” Maritim Malaysia akan terus memperketatkan pemantauan khususnya di kawasan pantas yang dikenalpasti menjadi tumpuan Vesel Nelayan yang ingkar terhadap peraturan yang ditetapkan” katanya.

Sehubungan itu beliau menyeru kepada orang awam terutama komuniti Maritim untuk terus menyalurkan sebarang maklumat sekiranya terdapat aktiviti yang mencurigakan dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088- 387774 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.

TAMAT