TUN MUSA ZIARAH KOPERAL AZFAR ARSHAD YANG MENINGGAL DUNIA PAGI TADI DI QEH 1.

sabahheadlines
2 Min Read
Tun Musa ziarah Allahyarham Koperal Azfar Arshad, 33, di QEH 1

SH-Editor

KOTA KINABALU: 15 April – Selepas 10 jam bertarung nyawa akibat kecederaan parah di kepala, Pengawal Peribadi kepada Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sabah meninggal dunia pada awal pagi tadi.

Allahyarham Koperal Azfar Arshad, 33, pengawal peribadi TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah di Cawangan Keselamatan Istana Negeri, Jabatan Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), pada jam 5.23 pagi tadi.

Allahyarham sebelum ini dilaporkan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah pikap di Kampung Laya-Laya,Jalan Sulama,Tuaran pada Isnin.

Dalam kejadian jam 7.50 pagi Isnin,Allahyarham dikatakan menunggang motosikal jenis Yamaha NVX ke tempat kerja di Istana Negeri sebelum terbabit kemalangan dengan sebuah pikap jenis Isuzu D-Max.

Tun Musa Aman dalam kenyataannya di Facebook memaklumkan Allahyarham Koperal Azfar yang terbabit kemalangan kelmarin telah menghembuskan nafas terakhir di HQE I.

“Saya sempat menziarahi jenazah dan bertemu keluarga Allahyarham sebelum bertolak ke Kuala Lumpur bagi menghadiri upacara pengkebumian Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Mari kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah dan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman,” kata kenyataan itu, hari ini.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dalam kenyataannya di Facebook Polis Sabah berkata, pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar buat pasukan khususnya warga Polis Kontinjen Sabah.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Majid Al-Falah, Mengkabong, Tuaran untuk dimandikan seterusnya solat jenazah akan diadakan di masjid berkenaan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Mengkabong, hari ini.

TAMAT

Share This Article