KENINGAU, 19 JULAI -Sebuah lori yang membawa muatan kelapa sawit musnah dalam kebakaran di Jalan Ansip di sini, petang tadi namun tiada mangsa dilaporkan cedera.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 4.26 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau digerakkan ke lokasi.
Pasukan bomba tiba di tempat kejadian pada jam 5.02 petang dan berjaya mengawal kebakaran pada jam 5.24 petang.
Api dipadamkan sepenuhnya kira-kira 10 minit kemudian menggunakan satu aliran dengan satu pancutan air.
Operasi pemadaman diketuai Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Ranizan Samirin bersama 10 anggota dengan kekuatan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah kenderaan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) serta sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.
Punca kebakaran bagaimanapun masih dalam siasatan Pegawai Penyiasat Kebakaran JBPM Zon Keningau.
Operasi ditamatkan selepas pasukan bomba memastikan lokasi berada dalam keadaan selamat dan tiada lagi risiko kebakaran semula.
