KENINGAU, 10 Mac – Tindakan pantas seorang pemilik premis memadam kebakaran kecil menggunakan alat pemadam api berjaya mengelakkan kejadian lebih serius apabila berlaku litar pintas pada sistem kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah premis perniagaan di sini, petang tadi.
Kejadian berlaku di Viva Tackle Centre selepas pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau menerima panggilan kecemasan berhubung kepulan asap yang dilihat keluar dari dalam premis berkenaan.
Pasukan bomba yang digerakkan ke lokasi dilaporkan tiba kira-kira empat minit selepas panggilan kecemasan diterima.
Komander Operasi, PBK II Azwan Hamirin berkata pemeriksaan awal mendapati asap berpunca daripada kebakaran kecil yang melibatkan satu unit CCTV akibat litar pintas.
Menurutnya, kebakaran berkenaan bagaimanapun telah dipadamkan sepenuhnya oleh pemilik premis menggunakan alat pemadam api sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan lanjut di sekitar premis bagi memastikan tiada lagi punca api atau risiko kebakaran berulang,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi pemeriksaan keselamatan di lokasi tamat sepenuhnya pada jam 4.31 petang selepas keadaan disahkan selamat.
Dalam pada itu, pihak BBP Keningau turut menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan tahap keselamatan elektrik terutama menjelang musim perayaan.
Antara langkah yang disarankan termasuk memastikan semua peralatan elektrik dimatikan dan dicabut plag sebelum meninggalkan rumah atau premis untuk tempoh yang lama, selain mengelakkan penggunaan berlebihan palam penyambung pada satu soket.
Orang ramai juga digalakkan menyediakan sekurang-kurangnya satu unit alat pemadam api di rumah atau premis perniagaan sebagai langkah awal menghadapi kecemasan kebakaran.
Menurut pihak bomba, tindakan awal dan kesedaran keselamatan yang tinggi mampu mengelakkan kerugian lebih besar serta melindungi nyawa dan harta benda.
TAMAT
