LIMA CEDERA DALAM KEMALANGAN TIGA KENDERAAN DI JALAN KUNAK–TAWAU

KUNAK, 18 Okt — Lima orang cedera dalam satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kunak–Tawau tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Mohamad Omarbatha berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 11.57 pagi sebelum sebuah jentera FRT dengan enam anggota dan sebuah unit EMRS dengan dua anggota digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 24 kilometer.

Menurutnya, kemalangan itu melibatkan tiga buah kenderaan pacuan empat roda, kereta dan lori tiga tan.

“Seorang mangsa lori tiga tan tersepit dan berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas Hydraulic Rescue Tool (Holmatro) serta spinal board,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, seorang mangsa dari pacuan empat roda tercampak keluar dan diberikan rawatan awal oleh pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) manakala tiga mangsa lain dari sebuah kereta hanya mengalami cedera ringan dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Operasi diketuai oleh PBK I Kamalrulzaman Roslie selaku Komander Operasi dengan bantuan PDRM (6 anggota) dan KKM (3 anggota).

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.33 petang selepas memastikan kawasan kejadian selamat dan tiada risiko lain.

Maklumat lanjut mengenai identiti mangsa masih dalam siasatan pihak berkuasa.

TAMAT