Lelaki Dikehendaki Kes Serang Anggota PGA Dicekup Polis

sabahheadlines
2 Min Read

KENINGAU: Selepas lebih tiga bulan mengelak daripada dikesan pihak berkuasa, seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam insiden mencederakan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) akhirnya berjaya ditahan polis dalam satu operasi di Kampung Pauh Tulid, Sook, pada Sabtu lalu.

Suspek warga tempatan berusia 40 tahun itu diberkas sekitar jam 7.40 malam di sebuah rumah di kampung berkenaan oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai, berkata tangkapan itu dibuat bagi membantu siasatan berhubung kes serangan menggunakan senjata tajam yang dilaporkan berlaku pada Disember tahun lalu.

Beliau memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya.

Menurutnya, kejadian itu berlaku kira-kira jam 5 petang pada 9 Disember 2025 apabila mangsa, seorang anggota polis lelaki berusia 39 tahun, dipercayai diserang menggunakan sebilah pedang jenis samurai di kawasan tepi jalan Kampung Pauh Tulid.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan serius termasuk patah ibu jari kiri selain luka akibat tetakan pada bahagian belakang badan serta lengan bawah kanan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Sook sebelum membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Siasatan awal mendapati suspek mengakui penglibatannya dalam serangan tersebut. Pemeriksaan lanjut turut mendapati lelaki itu mempunyai 11 rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah.

Selain itu, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Susulan penahanan itu, mahkamah membenarkan suspek direman selama lima hari bermula semalam sehingga 20 Mac bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

TAMAT

Share This Article