TAWAU, 12 Ogos 2025 – Susulan lonjakan harga koko dunia kepada RM24,274 satu tan metrik tahun lalu, kerajaan memperuntukkan RM550,000 setahun menerusi Program Galakkan Tanaman Koko Sektor Perladangan bagi menggiatkan semula pengeluaran koko negara secara mampan mulai 2025 hingga 2030.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Chan Foong Hin berkata, melalui program ini, Lembaga Koko Malaysia (LKM) mengagihkan bantuan berbentuk anak benih koko berkualiti tinggi secara percuma, memberi bimbingan teknikal dan latihan amali, serta pemantauan berterusan bagi memastikan penanaman koko dijalankan mengikut amalan pertanian terbaik.
“Dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, penglibatan syarikat perladangan di Sabah adalah seluas 89 hektar.
“Syarikat yang terpilih menyertai program ini diberi insentif 5,000 anak pokok koko berkualiti tinggi, bernilai RM50,000 serta khidmat nasihat teknikal seperti pembangunan nurseri, sistem tanaman dan lain-lain lagi.
“Bagi tempoh lima tahun, program ini mensasarkan keluasan tanaman koko sebanyak 2,750 hektar di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Libat Urus: Galakan Tanaman Koko Sektor Perladangan Wilayah Sabah di Hotel Emas, di sini, pada Selasa.
Menurut Chan, harga koko dunia kini telah mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan.
“Pada tahun 2024, purata harga biji koko kering telah meningkat sebanyak 141 peratus kepada RM24,274 satu tan metrik berbanding RM10,073 pada tahun sebelumnya.
“Perkembangan ini menjadikan koko sebagai tanaman komoditi yang mampu menjana pulangan lumayan,” katanya.
Pada program itu, seramai 150 orang peserta terdiri daripada syarikat-syarikat perladangan, pengusaha individu, kelompok-kelompok petani serta wakil-wakil agensi kerajaan yang berkaitan terlibat dalam libat urus terbabit.
TAMAT

