Caption gambar: Lokasi kejadian kebakaran
Kredit Pic oleh Bomba
sh@ Syarmilah Salleh
TAWAU; 1 Ogos 2025 (Jumaat) – Sebanyak 26 buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Kurnia Jaya, pagi tadi.
Daripada jumlah itu ianya melibatkan 25 rumah tidak kekal dan satu rumah separuh kekal yang terbakar 100 peratus.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana semua penghuni sempat keluar menyelamatkan diri sebelum ketibaan pasukan bomba.
Komander Operasi, PBK I Jehrey bin Ibno berkata Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada jam 9.37 pagi, dan jentera pertama tiba di lokasi 11 minit kemudian.
“Pasukan kami segera melaksanakan operasi pemadaman menggunakan teknik offensive dan defensive bagi mengelakkan api merebak ke rumah berhampiran,” katanya.
Antara rumah yang terbakar termasuk dua buah rumah berkeluasan 30×40 kaki persegi,lapan buah rumah berkeluasan 10×15 kaki persegi dan 16 buah rumah berkeluasan 10×10 kaki persegi.
Keluasan keseluruhan kawasan terjejas dianggarkan 80×150 kaki persegi.
Sebuah motosikal turut musnah dalam kebakaran tersebut.
Sebanyak 1,300 buah rumah berjaya diselamatkan hasil tindakan pantas pasukan bomba.
Operasi yang tamat sepenuhnya jam 11.45 pagi melibatkan 39 anggota dari BBP Tawau dengan bantuan 7 anggota Bomba Komuniti, serta agensi lain termasuk PDRM (8 anggota), KKM (2), APM (7) dan Sabah Electricity (4).
Pasukan bomba menggunakan sumber air dari tangki jentera dan sumber terbuka (laut) serta melaksanakan pancutan menggunakan aliran sepanjang 300 kaki dan 2 aliran 200 kaki daripada jentera FRT.
Pasca pemadaman dilakukan untuk memastikan kawasan benar-benar selamat sebelum operasi ditamatkan.
TAMAT

