KAMPUNG ANGKAT MADANI ESSCOM DI ZON SELAMAT SABAH TIMUR

sh@ Syamila Salleh

TAWAU: 5 Julai – Buat pertama kalinya, Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) melancarkan Program Kampung Angkat MADANI di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone), bertempat di Sekolah Kebangsaan Inderasabah, Tawau.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail bersama Datuk Hj. Nizam Titingan, ADUN N.68 Apas yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah.

Program ini merupakan manifestasi komitmen kerajaan dalam menjayakan aspirasi Malaysia MADANI melalui pendekatan turun padang kepimpinan agensi untuk menyantuni komuniti luar bandar, memperkukuh keselamatan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Lebih 1,000 penduduk sekitar hadir memeriahkan pelbagai aktiviti seperti sukan rakyat, pertandingan mewarna dan melukis, serta pameran perkhidmatan oleh agensi KDN (PDRM, APMM, AADK, JPN, Jabatan Penjara) dan rakan strategik seperti MARA, PERKESO, Askar Wataniah dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah.

Sektor swasta seperti CelcomDigi, Public Bank, Bank Islam turut mengambil bahagian, disertai jualan barangan keperluan menerusi Jualan RAHMAH KPDN dan trak Milo oleh Nestle.

Saifuddin dalam mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM10,000 kepada KEMAS dan RM20,000 untuk pembelian kipas mega SK Inderasabah, di samping projek pembangunan sedia ada hasil dana RM1 juta yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan pada Mac lalu.

Antara projek terlibat ialah pemasangan lampu solar, baik pulih kemudahan awam dan pembangunan infrastruktur kampung.

Turut hadir ialah CEO ESSCOM, Datuk Dr. Jamaluddin Mohd. Ali, Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor B Sanjos, serta barisan pegawai kanan ESSCOM dan wakil agensi persekutuan dan negeri.

Program ini dijangka memberi impak positif dalam memperkasa komuniti, memelihara keselamatan ESS Zone dan memperluas kesedaran terhadap nilai-nilai MADANI dalam kalangan masyarakat setempat.

Tamat