KOTA KINABALU – Tadbir urus dan pelaksanaan projek kerjasama kerajaan negeri dengan sektor swasta diperkukuhkan dengan penubuhan Jawatankuasa Kerjasama Awam Swasta.
Penubuhan itu diluluskan dalam mesyuarat kabinet Rabu lalu bagi memastikan kerjasama itu lebih telus dan berfokus kepada kepentingan rakyat.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.
Katanya, jawatankuasa itu akan menilai semua cadangan projek secara menyeluruh.
Ia termasuk aspek daya maju, skop pelaksanaan dan impak sebenar terhadap pembangunan negeri, katanya di sini.
Menurut beliau, penubuhan jawatankuasa berkenaan turut menggantikan mekanisme sedia ada bagi memastikan setiap konsesi dan kerjasama awam swasta memberi nilai terbaik kepada rakyat Sabah.
“Pendekatan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkukuhkan akauntabiliti dan amalan tadbir urus yang baik sebagai asas kepada pembangunan mampan serta masa depan Sabah yang lebih terancang dan sejahtera,” katanya.
TAMAT
