IGAL-IGAL CATAT NAMA DALAM MBOR

SEMPORNA (22 JUN): Penyertaan 1,550 penari yang menjayakan tarian igal-igal membolehkannya disenaraikan dalam Malaysia Book of Records.

Ia disenaraikan sebagai penyertaan penari paling ramai dalam satu acara di negara ini.

Pencapaian itu direkodkan sempena sambutan Pesta Regatta Lepa ke-30, menerusi segmen khas bertemakan “Teriak Nigal Legal”, sekali gus melepasi sasaran asal penganjur iaitu 1,000 peserta.

Acara bersejarah itu menarik ribuan pengunjung tempatan serta pelancong antarabangsa, dan menjadi simbol kebanggaan masyarakat Bajau dalam memperkukuh warisan budaya maritim ke peringkat nasional.

Wakil Pegawai Daerah Semporna, Abdul Azis Abdul Bool berkata inisiatif itu adalah segmen baharu yang pertama kali diperkenalkan dalam sejarah penganjuran Regatta Lepa.

“Tarian igal-igal ini melambangkan jati diri masyarakat Bajau. Hari ini, kita bukan sahaja meraikan budaya, tetapi juga membuktikan bahawa warisan ini masih hidup dan relevan dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa idea penganjuran segmen tersebut dicetuskan oleh penggiat seni tempatan, sebelum diangkat sebagai salah satu usaha rasmi pihak penganjur untuk memartabatkan seni tradisi.

Tarian igal-igal merupakan elemen penting dalam budaya masyarakat Bajau, sering dipersembahkan dalam majlis adat dan acara perayaan.

Gerak tarinya yang halus dan berirama menggambarkan kemegahan kehidupan masyarakat laut serta nilai estetika masyarakat maritim.

Sementara itu, Pegawai MBOR, Megat Faris Megat Muzaffar Shah, mengesahkan pengiktirafan rasmi kepada acara tersebut dan menyatakan bahawa ini adalah rekod pertama seumpamanya di Semporna dan Sabah dalam kategori tarian kebudayaan.

“Sejak penubuhan MBOR pada tahun 1995, pelbagai rekod budaya telah dicatatkan di Sabah. Namun, ini adalah pencapaian pertama yang melibatkan jumlah penari igal-igal seramai ini. Ia mencerminkan semangat luar biasa masyarakat dalam memartabatkan warisan mereka,” katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap sambutan dan penyertaan besar-besaran tersebut yang menggambarkan keunikan seni tempatan yang perlu terus dipelihara.

Sementara itu, Pengurus Acara Regatta Lepa 2025, Jasni Mohd Yaakub, menyatakan bahawa penganjuran tahun ini turut menampilkan pelbagai acara menarik termasuk Pertandingan Ratu Lepa, persembahan artis budaya tempatan dan kebangsaan, serta majlis pengiktirafan tokoh budaya yang akan berlangsung pada malam 29 Jun.

“Saya terlibat sejak era 1990-an dan saya percaya tahun ini paling istimewa kerana kita meraikan ulang tahun ke-30 Regatta Lepa dengan satu pencapaian yang membanggakan untuk negeri dan negara,” katanya.

Pesta Regatta Lepa 2025 dijangka menarik lebih 50,000 pengunjung sekali gus menjadikannya antara perayaan kebudayaan terbesar di negara ini dan bukti kukuh bahawa tarian igal-igal terus mendapat tempat dalam masyarakat serta dunia seni tanah air.

TAMAT