KENINGAU, 26 Mac — Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan seorang kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas di kawasan sungai di sini diteruskan memasuki hari ketiga hari ini dengan skop pencarian diperluas.
Mangsa, Muhammad Aidan Ridwan, 10, masih belum ditemui setakat pagi ini, meskipun usaha intensif digerakkan sejak dua hari lalu oleh pelbagai agensi penyelamat.
Menurut kenyataan pihak operasi, gerakan pencarian hari ini bermula sekitar jam 9.30 pagi membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk setempat.
Pendekatan pencarian menggunakan kaedah “surface searching” diteruskan dengan penumpuan kepada kawasan permukaan sungai dan tebing sekitar lokasi kejadian.
Bagi meningkatkan keberkesanan operasi, pasukan SAR telah dipecahkan kepada dua kumpulan dengan tugasan berbeza. Kumpulan pertama memberi fokus kepada kawasan dalam lingkungan satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang, manakala kumpulan kedua memperluas pencarian sehingga radius lima kilometer.
Kawasan liputan kumpulan kedua melibatkan laluan dari Sungai Ansip hingga ke Sungai Melalap di daerah Tenom, dengan anggota menelusuri aliran sungai bagi mengesan sebarang petunjuk baharu.
Operasi berdepan cabaran besar termasuk struktur muka bumi yang sukar, tebing curam, batu-batu besar serta sisa kayu hanyut selain keadaan air yang keruh, namun semua anggota kekal komited meneruskan pencarian.
Pihak berkuasa turut memaklumkan perkembangan terkini operasi akan disalurkan dari semasa ke semasa, sambil berharap keadaan cuaca terus mengizinkan bagi memudahkan usaha mengesan mangsa.
TAMAT
