KOTA KINABALU,28 November – Graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) perlu melengkapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan berkaitan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan mereka bukan sekadar menjadi pengguna teknologi malah berupaya muncul sebagai pencipta serta pemimpin yang mampu menerajui inovasi secara beretika.
Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman berkata, UMS perlu bersikap proaktif dalam menyahut cabaran era AI dan teknologi disruptif selaras dengan aspirasi universiti itu sebagai institusi pendidikan tinggi yang komprehensif.
Menurutnya, perkembangan pesat teknologi AI membuka peluang baharu dalam pelbagai bidang yang perlu dimanfaatkan bagi meningkatkan produktiviti serta menyokong kemajuan Sabah dan negara.
Katanya, graduan bukan sahaja perlu menguasai teknologi berkenaan malah mengembangkan kreativiti dan pemikiran inovatif bagi menghasilkan penyelesaian yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat.
“Sebagai sebuah universiti komprehensif, UMS hendaklah proaktif dalam memastikan para graduannya bukan sekadar menjadi pengguna teknologi AI, sebaliknya menjadi pencipta dan pemimpin yang mengemudi inovasi secara beretika,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Konvokesyen UMS Ke-28 bagi graduan tahun 2026 di Dewan Canselor UMS, di sini, hari ini.
Tun Musa yang juga Canselor UMS berkata, kemajuan AI perlu dimanfaatkan secara menyeluruh dalam pelbagai sektor termasuk sains, kejuruteraan, ekonomi dan kemanusiaan.
Jelasnya, penggunaan teknologi itu secara berkesan dan bertanggungjawab berupaya meningkatkan produktiviti selain menghasilkan impak positif terhadap pembangunan negeri dan negara.
Sehubungan itu, beliau berharap UMS terus memainkan peranan penting dalam melahirkan graduan berdaya saing, menguasai teknologi serta mempunyai keupayaan memimpin perubahan dalam persekitaran pekerjaan yang semakin berkembang.
Beliau turut mengingatkan graduan supaya melangkah ke alam kerjaya dengan penuh keberanian, integriti dan adab selain menjadi ejen perubahan yang mampu membawa sinar kebaikan kepada Sabah dan Malaysia.
