GAGASAN RAKYAT BANDAU TERUS PERKASA KOMUNITI LUAR BANDAR

sh@ editor

KOTA MARUDU, 30 Ogos – Komitmen memperkasa komuniti luar bandar terus menjadi keutamaan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sabah N.6 Bandau, Datuk Dr. Maijol Mahap (DDMM) melalui pelaksanaan Program Dari Desa Membina Masyarakat (DDMM) selama lima hari bermula hari ini.

Pelbagai pengisian termasuk majlis kekeluargaan, sukan rakyat, dialog komuniti, keusahawanan desa serta apresiasi pendidikan dilaksanakan di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau.

Dr. Maijol berkata, pembangunan luar bandar mesti bermula dengan mendengar suara rakyat serta menyokong mereka dari akar umbi.

“Itulah komitmen kami di N.6 Bandau,” katanya ketika ditemui pada permulaan program.

Antara pengisian utama termasuk Majlis Uhkuwah Madani di Dewan Pekan Lama, sambutan Hari Kebangsaan di Kampung Kionsom Baru, serta pelancaran gerai baharu di Kampung Wanie bagi membantu usahawan kecil luar bandar.

Program tersebut melabuhkan tirai pada 3 September di SMK Salaping melalui Majlis Penutupan Karnival Sukan Rakyat dan Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah.

Pelaksanaan program ini disifatkan sebagai bukti pendekatan mesra rakyat Gagasan Rakyat Sabah dalam memperkukuh jaringan komuniti serta membina masyarakat desa lebih sejahtera, berdikari dan berdaya saing.

TAMAT