Oleh: Syarmilah Salleh
LAHAD DATU: 10 September-Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan dua pesara agensi kerajaan negeri kerana disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butir matan palsu berjumlah kira-kira RM6,000.
Ia membabitkan projek pembersihan kawasan dan penanaman kelapa tacunan.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 11 pagi ini ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah Cawangan Lahad Datu.
“Kedua-dua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2021 semasa masih bertugas di sebuah agensi kerajaan.
“Siasatan awal mendapati mereka telah mengemukakan tuntutan bagi projek pembersihan kawasan dan penanaman kelapa tacunan yang tidak dilaksanakan, namun dibayar dengan jumlah kira-kira RM6,000,” katanya.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, kedua-dua suspek dijangka akan didakwa dalam masa terdekat.
TAMAT