SANDAKAN, 21 Feb – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sandakan melaksanakan pemantauan di Kampung Sungai Memanjang susulan kejadian banjir yang berlaku sejak semalam.
Operasi diketuai Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sandakan, Kapt (PA) Sulaiman Salama bersama pegawai dan anggota APM dengan penggunaan dron bagi menilai keadaan semasa serta paras air di kawasan terjejas.
Tinjauan turut melibatkan pertemuan bersama ketua kampung, anggota CDERT dan penduduk di Masjid Nur Iman yang sebelum ini dijadikan pusat transit sementara ketika banjir pada 20 Februari lalu.
Hadir sama meninjau keadaan ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N.50 Gum-Gum, Datuk Jaffari Waliam bersama wakil agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), PKK dan RTM.
Hasil pemantauan mendapati paras air menunjukkan trend penurunan, cuaca berada dalam keadaan baik dan keadaan keseluruhan adalah terkawal.
Sehubungan itu, Presiden Majlis Perbandaran Sandakan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sandakan, Walter Kenson, memutuskan pusat transit ditutup serta tiada pengisytiharan bencana dibuat dan tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka setakat ini.
TAMAT
