Gambar: Teo bersama peserta Sandakan Amazing Food Race 2025
SANDAKAN: 7 Oktober – Sandakan Amazing Food Race 2025 sekali lagi mengetengahkan bandar ini sebagai syurga makanan.
Sebanyak 12 pasukan mengambil bahagian dalam perlumbaan makanan sejauh 10 kilometer itu, bermula di Sabah Hotel dan berakhir di Kelab Ragby Eagles Sandakan, IJM, Batu 6 baru-baru ini.
Dianjurkan oleh Persatuan Pelancongan Sandakan, semua peserta diwajibkan melalui setiap lokasi persinggahan melibatkan kedai makan dan restoran terkenal di sekitar bandar untuk merasai hidangan tempatan yang unik.
Presiden Persatuan itu, Teo Chee Kim memberitahu ia diadakan sempena pelancaran Jejak Makanan Rasa Sandakan 2025 dan kempen seumpamanya sudah pasti membantu lagi sektor pelancongan yang berasaskan makanan di bandar berkenaan.
“Mempromosikan sector tourism Sandakan terutamanya sektor makanan laa sebab pada masa yang sama kita ada satu kempen makanan Food Trail Campaign iaitu Rasa Sandakan Food Trail so ini Amazing Food Race adalah sebahagian daripada ini Rasa Sandakan Food Campaign .. aktiviti ini kan peserta dapat melawat ke banyak lokasi di Sandakan untuk enjoy itu makanan serta macam satu fun game laa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media semasa ditemui selepas majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang di Kelab Ragby Eagles.
Sementara itu, Setiausaha Tetap di Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Josie Lai menyempurnakan perasmian program perlumbaan makanan itu.
Dalam ucapannya, beliau amat menyambut baik kerana program sebegini mampu menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke Sandakan dan sekali gus memastikan ia kekal kukuh sebagai destinasi wajib dikunjungi di Sabah.
Tamat

