TAWAU, 1 APRIL – Seorang lelaki tempatan berdepan tindakan undang-undang selepas ditahan polis kerana disyaki mencuri cincin emas milik adiknya sendiri dalam satu kejadian di Batu 5, Jalan Apas, di sini.
Suspek berusia 32 tahun itu diberkas sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 10.15 pagi tadi di kawasan tepi Jalan Kampung Hidayat, hasil maklumat dan risikan dijalankan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata tangkapan dibuat susulan laporan mangsa yang menyedari kehilangan cincin emas miliknya dari kediaman mereka sehari sebelum laporan dibuat pada Sabtu lalu.
Menurutnya, siasatan lanjut membawa kepada serbuan di sebuah kedai emas di Jalan Chester kira-kira jam 12.30 tengah hari, yang menemukan semula cincin dipercayai milik mangsa bersama resit jualan atas nama suspek.
“Rampasan itu mengukuhkan lagi penglibatan suspek dalam kes ini. Barang kes telah dikenal pasti sebagai milik mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hasil semakan mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Bagaimanapun, dia kini direman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.
Dalam pada itu, Jasmin menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan jenayah, termasuk yang melibatkan hubungan kekeluargaan.
“Undang-undang tetap dikuatkuasakan tanpa pengecualian. Sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan sewajarnya,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada serta menjaga keselamatan harta benda masing-masing, selain segera membuat laporan sekiranya berlaku sebarang kejadian mencurigakan.
