SANDAKAN,7 FEBRUARI- -Seramai 14 individu termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) serta seorang lelaki yang positif dadah jenis methamphetamine atau syabu ditahan dalam Operasi Bersepadu Daerah Sandakan yang dikoordinasikan oleh Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), pada 5 Februari lalu.
Operasi berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta pelbagai jabatan dan agensi persekutuan & Negeri juga beserta pihak berkuasa tempatan.
Menurut ESSCOM, seramai 13 lelaki dan wanita dewasa membabitkan PATI telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sandakan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Manakala seorang lelaki ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah pNarkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan selepas disahkan positif dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Operasi yang dijalankan di sekitar kawasan bandar, penempatan setinggan, pinggir bandar serta kampung itu bertujuan membanteras penyeludupan barang kawalan, bersubsidi dan tidak bercukai selain mengekang penyusupan PATI serta kesalahan-kesalahan lain.
Operasi keselamatan turut odilaksanakan di laluan ketirisan berhampiran sempadan daratan dan perairan yang dikenal pasti sering digunakan oleh penjenayah.
Dalam operasi sama, Sabah Electricity turut melaksanakan pemotongan sambungan elektrik haram dengan anggaran kerugian sebanyak RM310,000 di bawah Seksyen 61(3) Enakmen Bekalan Elektrik 2024.
Begitu juga Jabatan Air Sabah (JAS) Daerah Sandakan turut menjalankan penguatkuasaan terhadap sambungan paip air haram dengan anggaran kerugian RM27,215 mengikut Seksyen 49(b) Enakmen Bekalan Air Sabah 2003.
Sementara itu Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Sandakan pula mengeluarkan sebanyak 137 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Selain itu pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut merampas barang kawalan dan bersubsidi bernilai RM5,316.46 serta mengeluarkan lima kompaun berjumlah RM1,200 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dalam operasi tersebut turut melakukan rampasan peralatan penjaja tidak berlesen bernilai RM500 ldan rokok tidak bercukai dianggarkan bernilai RM5,898 di sekitar kawasan pasar untuk tindakan lanjut agensi berkaitan.
ESSCOM memaklumkan objektif utama operasi adalah bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) selain membanteras jenayah rentas sempadan dan penyelewengan barang kawalan.
Kejayaan operasi ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI menerusi Operasi SANGGAH ESSCOM selaras dengan aspirasi ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’ bagi memastikan keselamatan Sabah Timur sentiasa terpelihara.
Seramai 212 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi terlibat menjayakan operasi ini.
ESSCOM turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan keselamatan di ESS Zone ke Pusat Operasi ESSCOM.
TAMAT
