SANDAKAN, 4 Februari 2026 – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sandakan membantu menyelamatkan seekor kucing peliharaan yang terperangkap di dalam sebuah kenderaan selepas dipercayai tertutup dan terkunci secara tidak sengaja.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi di sebuah stesen minyak Shell Batu 9, pemilik kenderaan jenis Perodua Axia menyedari haiwan peliharaannya berada di dalam kereta ketika pintu tidak dapat dibuka.
Susulan itu, panggilan kecemasan dibuat melalui talian NG999 pada jam 8.08 pagi sebelum sepasukan anggota APM dikerahkan ke lokasi.
Operasi menyelamat berjaya dilakukan dalam tempoh kurang setengah jam apabila pintu kenderaan berjaya dibuka pada jam 8.37 pagi dan kucing berkenaan didapati selamat tanpa sebarang kecederaan.
