RANAU, 2 Februari 2026 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan seramai 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sekitar daerah ini, sebagai sebahagian usaha berterusan membanteras pelanggaran undang-undang imigresen.
Dalam operasi berkenaan, seramai 38 individu telah diperiksa dan hasilnya 23 orang ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Tahanan terdiri daripada 21 lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa, kesemuanya dipercayai warganegara Filipina.
Operasi itu melibatkan 16 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah dari Pejabat Imigresen Daerah Ranau, dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Ranau.
Menurut JIM Sabah, kesemua individu yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 36 Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa dokumen sah.
Sehubungan itu, JIM Sabah menegaskan tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang melindungi atau menggaji PATI, selain menggesa orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin bagi membantu penguatkuasaan undang-undang.
TAMAT
