BOT PAM BAWA 2,000 LITER PETROL TANPA KELULUSAN DIRAMPAS DI PERAIRAN PULAU BANGGI

sabahheadlines
2 Min Read

KUDAT, 2 Februari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat berjaya merampas sebuah bot pam yang disyaki membawa kira-kira 2,000 liter petrol tanpa kelulusan sah di perairan Damaran, Pulau Banggi awal pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata rampasan tersebut adalah hasil maklumat risikan sebelum sepasukan bot peronda digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan.

Menurutnya, sebaik pasukan penguat kuasa tiba di kawasan berkenaan bot pam tersebut didapati ditinggalkan tanpa pengendali, dipercayai melarikan diri bagi mengelak daripada ditahan pihak berkuasa.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu membawa beberapa tong drum berwarna biru yang mengandungi petrol tanpa sebarang dokumen kebenaran.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sekitar RM5,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bot bersama muatan bahan api berkenaan telah dibawa ke jeti Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki membawa dan menyimpan barang kawalan tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dalam pada itu Hasbullah menegaskan bahawa Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penyeludupan dan akan terus memperketat kawalan serta pemantauan di perairan negara bagi mengekang pelanggaran undang-undang maritim.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 atau melalui talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

TAMAT

Share This Article