KOTA KINABALU, 30 Jan – Penjawat awam memainkan peranan penting sebagai rakan strategik dalam menjayakan agenda pembangunan negeri.
Penjawat awam juga memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat kepada penjawat awam negeri dan persekutuan di sini hari ini.
Lebih 7,500 penjawat awam hadiri pada majlis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Hajiji berkata, perkhidmatan awam merupakan tonggak utama kestabilan pentadbiran negeri dan perlu terus diperkasakan dengan nilai profesionalisme, integriti serta sikap berkecuali, selaras dengan keperluan semasa dan aspirasi rakyat.
Pada majlis sama, Hajiji turut melancarkan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030, yang menjadi kesinambungan kepada SMJ 1.0 selepas fasa pemulihan pasca pandemik.
Pelan SMJ 2.0 memberi penekanan kepada tiga teras utama merangkumi pemacuan pertumbuhan ekonomi, pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat, serta pengukuhan infrastruktur dan kelestarian alam sekitar bagi meningkatkan daya saing serta kemampanan ekonomi negeri.
Majlis berkenaan turut disertai barisan kepimpinan tertinggi negeri dan persekutuan termasuk Menteri Kabinet Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri, ketua-ketua jabatan serta pegawai kanan perkhidmatan awam.
TAMAT
