SANDAKAN, 29 Januari 2026 – Satu Operasi Bersepadu telah dilaksanakan di sekitar Bandar Sandakan pada petang Khamis bagi memperkukuh pematuhan standard kebersihan dan kesihatan awam melibatkan pelbagai agensi berkaitan.
Operasi tersebut digerakkan oleh beberapa unit di bawah Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta JPPS, khusus bagi memantau pematuhan syarat oleh pengusaha premis perniagaan.
Tumpuan utama operasi adalah penilaian tahap kebersihan premis, termasuk kemudahan tandas awam, agar selaras dengan garis panduan dan polisi kebersihan yang ditetapkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Turut serta dalam operasi berkenaan ialah Ahli-Ahli Majlis MPS yang turun padang bagi menjalankan pemantauan secara langsung, sekali gus memastikan pelaksanaan penguatkuasaan berjalan dengan telus dan berkesan.
Dalam pada itu, Unit Kesihatan MPS merakamkan penghargaan kepada semua agensi terlibat atas komitmen dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan operasi tersebut demi kesejahteraan dan kesihatan masyarakat setempat.
TAMAT
