TANGKAPAN KES MINYAK SAWIT DI PERAIRAN SANDAKAN BOT BAWA TUJUH TAN MINYAK SAWIT MENTAH TANPA PERMIT DITAHAN

sabahheadlines
2 Min Read

SANDAKAN, 28 Januari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan berjaya menahan sebuah bot yang disyaki membawa muatan minyak sawit mentah tanpa permit sah dalam satu operasi penguatkuasaan di perairan Sandakan, semalam.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy bin Hussain berkata, bot berkenaan ditahan oleh kapal peronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op SEJAHTERA, Op PLUTO TIMUR, Op CEGAH PATI dan Op TIRIS pada kedudukan kira-kira 0.8 batu nautika tenggara dari Kampung Gas, Sandakan, selepas dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan.

Menurut beliau, bot tersebut dikendalikan oleh seorang lelaki warganegara tempatan berusia 38 tahun bersama seorang lelaki warganegara asing berusia 42 tahun. Kedua-duanya gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan serta pengangkutan minyak sawit mentah semasa pemeriksaan dijalankan.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut membawa kira-kira tujuh tan minyak sawit mentah yang disyaki dibawa tanpa permit atau kebenaran sah daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB),” katanya.

Kes ini disiasat di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582) kerana gagal mempamerkan Ikrar Pergerakan Domestik (MPOB).

Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 serta Peraturan-Peraturan Pelabuhan dan Dermaga (Kapal Kecil Berlesen Sabah) 2008 atas kesalahan gagal mempamerkan lesen, tidak mempamerkan nombor pendaftaran dan membawa muatan minyak sawit mentah tanpa kebenaran.

Kesemua individu yang ditahan bersama bot dan muatan dianggarkan bernilai RM75,000 telah diiring masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat Maritim Malaysia dengan kerjasama pihak MPOB.

Maritim Malaysia menegaskan akan terus memperketatkan rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang pelanggaran undang-undang di perairan negara.

Oleh : Jalie mohamad

Share This Article