SANDAKAN,24 Jan – Ahli Parlimen Batu Sapi merangkap Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, mengadakan lawatan kerja ke Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sandakan bagi meninjau pelaksanaan latihan kemahiran dan program teknikal yang ditawarkan.
Dalam lawatan tersebut, beliau diberi taklimat mengenai kursus serta program di bawah Advanced Technology Training Centre (ADTEC), Jabatan Tenaga Manusia (JTM), termasuk bidang penyejukbekuan dan teknologi dron yang menjadi antara fokus latihan di kampus berkenaan.
Datuk Khairul Firdaus turut meluangkan masa meninjau suasana pengajaran dan pembelajaran di ILP Sandakan, selain mencuba sendiri pengendalian dron sebagai pendedahan terhadap kemahiran teknologi semasa.
Beliau merakamkan penghargaan atas sambutan serta penerangan komprehensif yang diberikan oleh para pensyarah, dan berharap ADTEC JTM terus melahirkan lebih ramai tenaga mahir berasaskan teknologi dan teknikal bagi menyokong pembangunan negara.
TAMAT
