LAHAD DATU, 22 JAN – Lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.61 Segama, Muhammad Abdul Karim ke Kampung Desa Bajau hari ini bertukar cemas apabila sebuah jambatan uzur di kampung berkenaan roboh ketika sesi tinjauan dijalankan.
Lawatan tersebut diadakan susulan aduan penduduk mengenai keadaan jambatan yang sudah lama uzur dan berisiko tinggi.
Namun, ketika rombongan berada di atas struktur berkenaan, jambatan itu tiba-tiba runtuh menyebabkan beberapa ahli rombongan terjatuh ke dalam air laut yang sedang surut.
Walaupun insiden itu mencetuskan kebimbangan, semua individu yang terlibat dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
Kejadian berkenaan menonjolkan tahap ancaman keselamatan yang terpaksa dihadapi penduduk Kampung Desa Bajau setiap hari khususnya apabila jambatan tersebut merupakan laluan utama pergerakan harian mereka.
Sehingga kini, tiada sebarang tindakan segera dilaporkan termasuk penyaluran peruntukan khas atau kecemasan bagi kerja-kerja pembaikan atau pembinaan semula jambatan berkenaan.
Dalam satu kenyataan menerusi laman sosial rasminya Muhammad menggesa pihak berwajib agar mengambil tindakan segera dan memberi perhatian serius terhadap isu tersebut demi menjamin keselamatan serta kesejahteraan penduduk Kampung Desa Bajau.
TAMAT
