Mangsa Rafting Lemas Ditemui Meninggal Dunia di Sungai Sepulut

sabahheadlines
2 Min Read

NABAWAN, 16 Januari – Seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam sungai semasa melakukan aktiviti rafting di kawasan Kabulongou Earth Sepulut, di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa dikenali sebagai Ramli bin Mayakin, berusia dalam lingkungan 40-an, dipercayai terjatuh ke dalam sungai sebelum dilaporkan tidak sedarkan diri.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada jam 12.40 tengah hari melalui talian balai.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nabawan yang melibatkan 12 anggota telah digerakkan ke lokasi kejadian sejauh kira-kira 53 kilometer, dan tiba pada jam 2.45 petang.

Komander Operasi Kanan, PBT II Rudy Mekii, berkata pasukan bomba berdepan kesukaran untuk ke lokasi kejadian berikutan laluan sempit serta keadaan jalan yang tidak berturap.

“Setibanya di lokasi, mangsa telah ditemui oleh orang awam di tepi sungai dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Pasukan bomba kemudiannya bertindak mengeluarkan mangsa dari dalam sungai,” katanya dalam kenyataan.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayat diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Operasi menyelamat melibatkan kerjasama beberapa agensi termasuk PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan KKM, dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.30 petang.

Antara jentera yang digunakan dalam operasi itu ialah sebuah CFRT dan sebuah kenderaan Vigo.

Sementara itu, pihak berkuasa menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika melakukan aktiviti rekreasi.

TAMAT

Share This Article