KOTA KINABALU, 16 Januari – Badan Kehakiman Malaysia hari ini telah menganjurkan Majlis Tahunan yang menghimpunkan warga kehakiman dan perundangan dari Sabah dan Sarawak, sekali gus memperkukuh hubungan serta kerjasama dalam sistem perundangan negara.
Majlis berprestij ini turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi badan kehakiman negara, iaitu Yang Amat Arif Datuk Seri Utama Wan Ahmad Farid bin Wan Salleh, Ketua Hakim Negara; Yang Amat Arif Dato’ Abu Bakar bin Jais, Presiden Mahkamah Rayuan; Yang Amat Arif Dato’ Hashim bin Hamzah, Hakim Besar Malaya; serta Yang Amat Arif Datuk Hajjah Azizah binti Haji Nawawi, Hakim Besar Sabah dan Sarawak.
Majlis dimulakan dengan upacara perarakan rasmi yang bermula dari Dewan Hakka Sabah, Likas seawal jam 6.30 pagi dan berakhir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.
Dalam ucapannya, Yang Berbahagia Tan Sri Peguam Negara menegaskan komitmen Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk terus memperkukuh kerjasama strategik bersama institusi kehakiman dan perundangan. Kerjasama ini adalah selaras dengan usaha berterusan bagi memelihara kedaulatan undang-undang serta memperkasakan pentadbiran keadilan di Malaysia.
Penganjuran majlis ini mencerminkan iltizam Badan Kehakiman Malaysia dalam memastikan sistem keadilan negara kekal berwibawa, bebas dan diyakini rakyat.
Oleh : jalie mohamad
