KOTA KINABALU – Jabatan Kerja Raya Sabah (JKR Sabah) sedang memuktamadkan skop pembaikan kekal bernilai anggaran RM15 juta bagi menangani masalah kerosakan berulang di Jalan Tebobon–Tuaran, khususnya di kawasan Sinaway.
Menurut JKR Sabah, kerosakan jalan berpunca daripada keadaan tanah asas yang lembut serta sistem perparitan yang tidak sempurna, menyebabkan permukaan jalan mudah mendap terutama ketika hujan lebat.
“Tindakan penyelenggaraan segera telah diarahkan demi keselamatan pengguna jalan raya, sementara perancangan pembaikan jangka panjang sedang dimuktamadkan,” menurut kenyataan itu.
Skop pembaikan kekal melibatkan keseluruhan laluan dari Sinaway hingga ke Petronas Tebobon, dengan anggaran kos RM15 juta.
Dalam perkembangan berkaitan, JKR Sabah memaklumkan kerja pembaikan sementara turut dilaksanakan di laluanxk Sandakan–Kinabatangan susulan kerosakan jalan yang tular sebelum ini.
Kerja heavy patching dilakukan bagi menutup lubang dan kerosakan teruk, dengan pelaksanaan oleh kontraktor Projek Lebuhraya Pan Borneo.
Setakat ini, laluan dari Bulatan Sukau hingga Kampung Jaya Baru telah siap dibaiki, manakala kerja di lokasi lain masih diteruskan.
JKR Sabah menegaskan komitmen untuk memastikan kerja pembaikan dilaksanakan mengikut piawaian teknikal bagi menjamin kualiti, keselamatan dan ketahanan jangka panjang.
Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati, mematuhi papan tanda keselamatan serta merancang perjalanan dengan lebih teliti ketika melalui kawasan terlibat.
JKR Sabah turut menghargai kesabaran pengguna dan memberi jaminan maklumat terkini akan terus disalurkan melalui saluran rasmi.
Tamat
