RANAU, 11 Januari – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Ranau menjalankan pemantauan rapi susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku di Kampung Mohimboyon di sini pada malam Jumaat lalu.
Menurut laporan APM, kejadian runtuhan tanah itu dipercayai berlaku sekitar jam 10 malam pada 9 Januari lalu sebelum dimaklumkan oleh orang awam.
Pemantauan awal dilaksanakan pada ahad bermula jam 11.32 pagi hingga 2.49 petang oleh Skuad Bravo APM Ranau dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Seramai empat anggota APM dan dua anggota polis memulakan pemantauan di lokasi sekitar jam 12.13 tengah hari bagi menilai tahap risiko dan keselamatan penduduk.
Hasil pemantauan mendapati cerun yang runtuh dianggarkan setinggi 30 kaki dengan lebar kira-kira 40 kaki serta keluasan cerun mencecah 50 kaki.
Setakat pemeriksaan pada 11 Januari, seramai lima penduduk terjejas dan sebuah rumah mengalami keadaan landai akibat gelongsoran tanah berkenaan.
Bagi mengurangkan risiko runtuhan susulan, anggota APM dan polis telah memasang kanvas di kawasan terlibat sekitar jam 12.34 tengah hari bagi menahan pergerakan tanah.
Selain itu, penduduk kampung turut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan segera berpindah sekiranya berlaku runtuhan susulan terutama ketika hujan lebat.
Orang ramai juga diminta menghubungi talian kecemasan sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
Dalam operasi pemantauan itu, aset dan logistik yang digunakan termasuk sebuah kenderaan JMC LRV APM, empat topi keselamatan, empat pasang sarung tangan serta sebuah kanvas.
Lokasi pemantauan tertumpu sepenuhnya di Kampung Mohimboyon.
Walaupun keadaan cuaca dilaporkan baik semasa pemantauan dijalankan pihak berkuasa memaklumkan pergerakan tanah masih berkemungkinan berlaku sekiranya hujan lebat berterusan.
Justeru, pemantauan berkala akan diteruskan dari semasa ke semasa.
Dalam perkembangan berkaitan, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Ranau turut memohon bantuan jentera berat jenis Hitachi bagi membersihkan sisa tanah runtuh dan memastikan kawasan terjejas kembali selamat.
TAMAT
