48 PATI FILIPINA DITAHAN DALAM OPERASI DIJALANKAN DI SANDAKAN

sabahheadlines
1 Min Read

SANDAKAN, 9 Januari — Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 48 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar daerah ini, hari ini.

Operasi bersepadu itu melibatkan kerjasama antara Bahagian Penguatkuasaan JIM Sandakan seramai 8 pegawai dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) seramai 33 pegawai.

Pengarah JIM Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusof berkata, semua individu berkenaan ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah, sekali gus disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Menurut beliau, tangkapan membabitkan seramai 20 lelaki dan 28 perempuan, iaitu 5 lelaki dewasa, 11 perempuan dewasa, 15 kanak-kanak lelaki dan 17 kanak-kanak perempuan.

“Kesemua yang ditahan telah dihantar ke Depot Imigresen bagi tujuan dokumentasi, siasatan dan tindakan lanjut mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa JIM Sabah akan terus mempertingkat usaha penguatkuasaan bagi mengekang kehadiran PATI serta memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

TAMAT

Share This Article